2014 - MESYUARAT MAJLIS PENGURUSAN KUALITI IPTA (MPQ-IPTA)

Mesyuarat Majlis Pengurusan Kualiti IPTA (MPQ-IPTA) merupakan acara rasmi yang menghimpunkan semua ketua pengurusan kualiti di 20 universiti di Malaysia. Majlis ini bertujuan sebagai platform perhubungan, perbincangan dan perkongsian amalan baik berkaitan pengurusan kualiti di universiti. Terma rujukan MPQ-IPTA adalah:

1. Sebagai platform untuk perkongsian kualiti akademik dan pengurusan
2. Sebagai platform untuk perkongsian amalan baik dalam pengurusan kualiti
3. Sebagai platform untuk mewakili universiti awam dalam merekabentuk aktiviti berkaitan kualiti untuk kepentingan bersama
4. Menjadi badan rasmi yang mewakili universiti awam dalam perhubungan antara organisasi kualiti dalam dan luar negara dengan pengurusan universiti

Universiti Malaya (UM) telah dilantik sebagai Sekretariat dan Pengarah Pusat Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti UM (QMEC), Prof. Dr. Fauza Ab. Ghaffar telah dilantik sebagai Pengerusi bagi tempoh 2014-2015.

Sepanjang 2014, tiga (3) mesyuarat telah diadakan bagi membentangkan laporan berkaitan pengurusan dan penambahbaikan kualiti, audit dan penandaarasan, anugerah kualiti dan hal-hal lain berkaitan kualiti, daripada setiap universiti/ahli Majlis. Selain itu, mesyuarat turut membentangkan dan membincangkan;
1. Hasil Kajian ‘Pembangunan Garis Panduan dan Pelaksanaan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) di Malaysia’
2. Penyelarasan Istilah Sijil-Sijil Akademik bagi menyelaraskan penggunaan terma “pasca siswazah” dan “pasca ijazah”.
3. Pelaksanaan Latihan Juruaudit ASEAN Universities Network – Quality Assurance (AUN-QA) di Malaysia